Pengenalan
Pengurusan Hal-Ehwal Murid (HEM) merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Sekiranya tidak dikendalikan
dengan baik ia akan mencacatkan dan menjejaskan perjalanan dan prestasi sekolah itu sendiri. Dengan adanya permintaan dan
harapan yang tinggi di kalangan murid/pelajar dan masyarakat seluruhnya terhadap kemampuan sekolah, pengurus atau pemimpin
sekolah seharusnya memainkan peranan yang lebih daripada hanya menjalankan fungsi pentadbiran dan penyelenggaraan. Pengurus/pemimpin
sekolah mesti berupaya menjadi penggerak dan penggalak perubahan untuk mempengaruhi ahli-ahli dalam sekolah menuju ke arah
kecemerlangan. Ini kerana pelajar-pelajar merupakan aset negara masa depan. Jatuh bangunnya negara bergantung kepada kualiti
tenaga manusia yang dihasilkan oleh pendidikan. Untuk membantu individu supaya seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani,
dan intelek (J.E.R.I) sebagaimana yang tercerna dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) bukanlah satu perkara yang mudah. Di
peringkat sekolah ia berkehendakkan satu perancangan yang lebih berstruktur dan strategik untuk memastikan sesebuah sekolah
itu memenuhi ciri-ciri instituti yang berjaya dalam bidang akademik dan bukan akademik. Oleh itu untuk mencapai hasrat ini,
jawatan khas Guru Penolong Kanan (HEM) telah diwujudkan di sekolah bagi membantu pihak pentadbir (guru besar/pengetua) dalam
memainkan peranan sebagai pemaju, pembina, pembantu, perancang, pemudahcara, penyelaras, pengawal, penawar, dan kaunselor
kepada ahli-ahli di bawah pengawasannya khususnya pelajar-pelajar. Siapakah Pelajar-Pelajar Sekolah?
Pelajar-pelajar sekolah terdiri daripada mereka yang berumur antara 7 hingga 18 tahun. Pelajar-pelajar
sekolah rendah ialah mereka yang berumur antara 7 hingga 12 tahun manakala pelajar sekolah menengah pula berumur antara 13
hingga 18 tahun. Mengikut ahli-ahli psikologi, kanak-kanak atau pelajar-pelajar yang berada pada setiap peringkat umur mesti
melaksanakan tugas perkembangan masing-masing. Kegagalan memenuhi tugas perkembangan pada sesuatu peringkat boleh menjejaskan
perkembangan kanak-kanak atau pelajar-pelajar pada peringkat perkembangan seterusnya. Pengurus-pengurus di peringkat sekolah
mestilah memahami diri pelajar sebagai organisme yang berkembang dan kompleks. Mereka menghadapi pelbagai masalah dan cabaran
yang kompleks dalam proses perkembangan diri dan memerlukan bantuan serta bimbingan daripada guru-guru di sekolah.Konsep Pengurusan
dan Pengurusan Hal Ehwal Murid
Menurut Peter F. Drucker, pengurusan boleh ditakrifkan sebagai proses sosial
yang dibentuk untuk memberikan kerjasama, penglibatan, campur tangan dan penyertaan orang lain ke arah pencapaian yang lebih
berkesan terhadap sesuatu objektif yang ditetapkan.
Jaafar Muhammad (1988) pula mendefinisikan pengurusan sebagai satu proses mengagihkan
input-input organisasi (termasuk sumber ekonomi dan sumber kakitangan) dengan cara perancangan, pengorganisasian, pengarahan
dan pengawalan untuk tujuan mengeluarkan output (perkhidmatan) yang diperlukan oleh pelanggan-pelanggan supaya objektif organisasi
tercapai.
Oleh itu, berlandaskan konsep asas pengurusan, pengurusan HEM merupakan satu proses pengendalian
resos-resos sama ada manusia atau fizikal dengan tujuan untuk mencapai matlamat dan objektif pada tahap yang memuaskan. Dalam
waktu yang sama ianya dapat memberikan rasa kepuasan, semangat kerjasama dan disiplin yang tinggi di kalangan ahli-ahli dan
semua pihak yang terlibat dalam instutiti sekolah sama ada pentadbir, pelajar, guru, kakitangan sokongan, ibu bapa, dan masyarakat.
Dalam istilah yang mudah pengurusan HEM adalah proses-proses yang berhubungkait dengan:
i. Perancangan kerja atau program bagi murid/pelajar
ii. Pengelolaan murid/pelajar dan program secara berkesan
iii. Pemilihan cara atau kaedah yang berkesan dalam pengurusan organisasi
iv. Penyeliaan dan penyelarasan aktiviti-aktiviti
v. Pengawalan, penilaian prestasi murid/pelajar dan penilaian program
Ada juga yang melihat proses pengurusan HEM tersebut dari aspek:
i. Perancangan (planning)
Proses menentukan objektif dan cara operasi untuk
aktiviti-aktiviti HEM yang dijalankan bertujuan untuk mencapai
matlamat dengan cara yang paling berkesan.
ii. Pengelolaan (Organising)
Pengumpulan resos-resos sama ada manusia atau bukan manusia
dan pembentukan prosedur dalam menguruskan program HEM.
iii. Pentadbiran/Memimoin (Leading)
Merangkumi kepemimpinan, motivasi, penyeliaan, dan penyelarasan
terhadap program/rancangan HEM berkenaan.
iv. Pengawalan/Pemulihan (Controlling)
Ini berkait dengan laporan, maklumbalas, tindak ikut untuk
memperbaiki rancangan HEM yang dilaksanakan.
Sejarah Perkhidmatan HEM/Personalia di Sekolah
Di negara barat seperti Amerika dan Syarikat, pengurusan personalia pelajar yang
lebih dikenali sebagai Perkhidmatan Bantuan (student services) atau Perkhidmatan Personelia Pelajar (student personnel
services) pada awal 1920-an yang bermula di instituti pengajian tinggi dan kemudiannya berkembang pula sehingga ke peringkat
sekolah. Dengan berpegang kepada pendapat bahawa sedangkan mahasiswa di pengajian tinggi yang lebih dewasa pun memerlukan
perhatian dalam aspek peribadi, kanak-kanak di sekolah tentulah lebih memerlukan perhatian dalam aspek-aspek yang disebutkan.
Nordin (1993:17) memetik kandungan buku Sturtevant dan Hayes (1930) yang menyatakan bahawa aspek perkhidmatan yang disediakan
oleh pekerja personelia murid di barat pada peringkat awal meliputi bimbingan pelajaran dan pekerjaan, pelanggaran disiplin,
moral, hal-hal sosial, masalah kesihatan tubuh badan dan faktor ekonomi yang menganggu kehidupan sebagai pelajar. Nama-nama
jawatan yang pernah dicatatkan dalam Education Research Bulletin pada awal sejarah perkhidmatan ini termasuklah pegawai
penjaga kedatangan murid, guru pelawat, ahli psikologi sekolah, ahli psikitri sekolah, penyelia dan pegawai kesihatan sekolah.
Seperti juga di negara-negara barat, di Malaysia, perkhidmatan hal ehwal pelajar secara
rasmi juga dimulakan di peringkat universiti iaitu pada penghujung tahun 1960-an dan awal 70-an ekoran gerakan agresif para
mahasiswa universiti dan kemudiannya kerajaan mewujudkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mewujudkan jawatan
Timbalan Naib Canselor Disiplin buat pertama kalinya yang kemudiannya diubah kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).
Di peringkat sekolah, perkhidmatan yang secara konsepnya termasuk di bawah ruang lingkup
personalia murid telah lama wujud. Tugas menjaga disiplin pelajar sebenarnya telah wujud menyamai sejarah pendidikan formal
pendidikan di Malaysia itu sendiri. Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling pula wujud pada awal tahun 1960-an. Bagaimanapun
perkhidmatan `hal ehwal murid’ secara formal adalah fenomena awal tahun 1980-an. Jawatan Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid)
hanya diisi dan diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran pada awal tahun tersebut. Ini meliputi semua sekolah menengah hingga
ke sekolah rendah.
Rasional perkhidmatan Hal Ehwal Murid di Malaysia
Nordin Kardi (1993) menyatakan terdapat 2 jenis rasional kewujudan pengurusan hal ehwal
murid diwujudkan di semua jenis instituti pendidikan di Malaysia iaitu:
(i) Rasional tersembunyi - berunsur politik
(ii) Rasional terbuka - berunsur pendidikan
Rasional tersembunyi, walaupun tidak nyata tetapi dapat dirasakan oleh masyarakat
umum. Malaysia yang rakyatnya majmuk mewujudkan jurang dari segi ekonomi pada tahun-tahun sebelum 1970-an. Peristiwa 13 Mei
1969 telah membawa perubahan dalam corak pengurusan pendidikan. Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 kemudiannya diwujudnya
yang seterusnya jawatan Timbalan Naib Canselor (HEP) wujud di universiti.
Rasional terbuka pula menggambarkan kemunculan pengurusan hal ehwal pelajar sebagai
memenuhi cita-cita murni pendidikan. Faktor bilangan pelajar yang semakin bertambah di semua peringkat instituti pendidikan,
keperluan pelajar terhadap perkhidmatan yang lebih bertanggungjawab dan profesional dan melaksanakan konsep-konsep dan amalan
baru dalam dunia pendidikan, sering disebut sebagai rasional yang mendorong penyediaan dan seterusnya pengurusan dalam hal
ehwal murid berkenaan.
Sekolah dikatakan bertanggungjawab menyediakan suasana pendidikan yang kondusif dari
aspek sosial, fizikal dan kerohanian. Suasana sedemikian dikatakan begitu perlu untuk membina `scholarship’ di
sekolah. Pengurusan informal yang diberikan oleh guru biasa secara tidak formal dikatakan tidak lagi mampu diteruskan bahkan
tidak lagi `cost effective’. Dengan rasional ini, diwujudkan pentadbiran hal ehwal murid atau pelajar disemua peringkat
instituti pendidikan termasuk sekolah.
Falsafah dam Fungsi Pengurusan HEM Di Sekolah.
Menurut Williamson dan Sarbin (1940) perkhidmatan hal ehwal murid hendaklah merangkumi falsafah
pendidikan yang holistik, falsafah demokrasi yang mengiktiraf harga diri setiap individu, keunikan dan kompleksnya masalah
pelajar, keperluan pelajar terhadap pertolongan profesional dan keperluan terhadap usaha menghindar atau pencegahan masalah.
Nordin (1993:18) pula memetik pandangan dalam tulisan Mueller (1961) yang menggariskan falsafah pengurusan
murid iaitu:
The uniqueness of individuals is recognized.
Each individual must be treated as a functioning whole.
A Student Personel program must be developed based on the individual’s current drivers, interest,
and needs, that is appropriate for any particular school.
Pengurusan Hal Ehwal Murid atau personalia pelajar dalam konteks negara Malaysia pula
pada asasnya mestilah bertunjangkan kepada Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK). Dengan
kata-kata lain, pengurusan HEM yang dikendalikan dalam semua instituti pendidikan termasuklah di sekolah hendaklah dilaksanakan
berpandukan falsafah, dasar, aspirasi dan sistem pendidikan di negara ini. Berdasarkan pegangan falsafah ini, maka segala
urusan berkaitan perkhidmatan dan pengurusan Hal Ehwal Murid bukan sahaja bertepatan dengan matlamat sekolah, tetapi juga
matlamat negara.
Berdasarkan asas falsafah itu, digariskan beberapa prinsip asas pentabiran HEM iaitu:
Keseluruhan tugas pengurusan HEM hendaklah difahami dan dipecahkan kepada komponen-komponennya.
Pengurus HEM hendaklah mengkaji fungsi-fungsinya secara mendalam dan berusaha mendapatkan pengalaman melaksanakannya.
Tanggungjawab melaksanakan fungsi-fungsinya yang khusus hendaklah diserahkan kepada personel
yang berkelayakan.
Setiap staf hendaklah bekerja mengikut tahap kepandaian dan kemampuannya yang maksimum.
Walaupun guru-guru lain juga perlu dilibatkan bagi melaksanakan pengurusan HEM, sesebuah
sekolah itu hendaklah mempunyai tenaga yang berkepakaran.
Pakar dalam bidang ini elok menumpukan usaha mengajar guru lain dan menolong mereka tumbuh
dan berkembang sendiri bagi memenuhi keperluan murid.
Setiap staf hendaklah diberi orientasi terhadap tugas dan tanggungjawab dengan secukupnya.
Ia hendaklah mengendalikan aktiviti yang sampai kepada setiap pelajar.
Hendaklah ada sistem yang membolehkan setiap pelajar mempunyai hubungan yang rapat dengan
sekurang-kurangnya seorang guru.
Aktiviti-aktiviti berkelompok hendaklah dilaksanakan.
Peranan dan pembahagian tugas staf hendaklah disediakan dengan jelas.
Saiz pentadbiran HEM hendaklah berpadanan dengan saiz keperluan sesebuah sekolah itu
sendiri.
Hubungan dengan badan-badan di luar instituti pendidikan hendaklah diadakan. Hubungan
dengan NGO dan pelbagai jabatan kerajaan misalnya, mampu menyediakan pilihan aktiviti yang sangat luas. Ia kerap kali dapat
membantu mempermudahkan prosedur kerja yang memerlukan urusan dengan pihak luar.
Fungsi-fungsi pengurusan HEM di sekolah pula dapat dilihat seperti berikut:
mengenalpasti potensi pelajar dan memupuknya hingga ke tahap cemerlang.
memberikan khidmat bantuan kepada pelajar yang bermasalah.
mengelolakan program latihan kepemimpinan dan organisasi pelajar.
mengendalikan program orientasi pelajar.
memberi galakan dan pedoman berdikari.
mendedahkan pelajar terhadap sumber-sumber pengetahuan masyarakat.
mengeratkan hubungan antara instituti pendidikan dengan masyarakat dan ibu bapa.
mengorientasikan pandangan ibu bapa supaya secocok dengan matlamat pendidikan negara.
merancang dan melaksanakan program kendiri untuk mengenal kelemahan dan kekuatan diri.
mengatur dan mengelola aktiviti untuk mencapai kecemerlangan diri.
Prinsip dan Strategi Pengurusan HEM di Sekolah.
Prinsip dan strategi dalam pengurusan HEM di sekolah amatlah mustahak demi mencapai keberkesanan
sesuatu program khususnya untuk membina sahsiah pelajar. Prinsip yang tepat dan praktikal pasti akan dapat menentukan halatuju
pengurusan sesuatu program. Kawalselia dan penyelarasan juga akan dapat mengurangkan masalah. Jadi beberapa prinsip yang sesuai
untuk menentukan pengurusan HEM berasaskan kepada satu sistem yang terancang dan teratur. Di antara prinsip-prinsip pengurusan
HEM yang sesuai ialah:
Perancangan jadual kerja yang rapi mengikut jangka pendek dan jangka panjang.
Pengelolaan program secara terperinci bagi menentukan kejayaan.
Penggunaan staf secara optimum dengan memupuk semangat mereka ke tahap tertinggi.
Pengarahan kerja staf bagi menjamin kelicinan perjalanan organisasi.
Penyelarasan aktiviti untuk mengawal pembaziran masa, tenaga dan peruntukan.
Pengawalan belanjawan mengikut prinsip penggunaan minimum untuk mendapatkan hasil yang
maksimum
Proses penilaian program secara objektif.
Strategi pengurusan HEM pula akan menentukan dan menjamin keberkesanan sesuatu
program atau tindakan yang akan diambil. Tanpa strategi pengurusan, mungkin sukar bagi sesuatu organisasi untuk mencapai matlamatnya.
Pengurusan HEM yang menggunakan teori dan model yang sesuai dapat menentukan ketepatan tindakan strategi. Di antara beberapa
strategi yang perlu diambilkira ialah penggunaan pelbagai teori dan model termasuklah:
Penggunaan teori motivasi bagi menggerakkan pelajar.
Penggunaan teori kepimpinan bagi mewujudkan ciri-ciri kepimpinan di kalangan pelajar.
Pengunaan teori pengurusan supaya rancangan pemupukan personaliti pelajar mencapai keberkesanannya.
Pengunaan teori tingkahlaku untuk mengubah sikap pelajar ke arah yang positif.
Penggunaan teori kaunseling untuk membantu dan membimbing pelajar dalam pelbagai aspek
dan penguraian masalah.
Penggunaan teori pengajaran dan pembelajaran bagi memudahkan penerapan sesuatu program
yang bermatlamat.
Penggunaan model-model disiplin untuk membantu menyelesaikan pelbagai masalah disiplin
yang berkaitan dengan pelajar.
Penggunaan model-model latihan untuk menyemai, memupuk dan membentuk personaliti dan
tingkahlaku serta jiwa insan pelajar yang harmonis.
Objektif Pengurusan Hal Ehwal Murid
Objektif Pengurusan Hal Ehwal Murid dapat dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu:-
Objektif Masyarakat
Masyarakat memerlukan sumber tenaga manusia yang berkualiti dan cemerlang bagi memenuhi
keperluan tenaga kerja dalam masyarakat sama ada bekerja dalam sektor awam, swasta atau bekerja sendiri.
Objektif Sekolah
Sekolah mempunyai matlamat dan objektif yang telah ditetapkan dari segi pencapaian akademik
dan non-akademik. Pelajar-pelajar dalam konteks ini
dikehendaki berusaha bagi mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan oleh pihak sekolah.
Objektif Fungsian
Sekolah dan pelajar-pelajarnya mesti memainkan fungsinya dengan sebaik mungkin supaya
proses pendidikan, penerapan nilai-nilai dan sosialisasi dapat berjalan dengan baik dan lancar. Pengurus Hal Ehwal Murid sebagai
satu unit perlu memainkan fungsinya supaya sekolah berjalan dengan lancar.
Objektif Peribadi Pelajar
Pelajar sebagai individu mempunyai objektf yang tertentu di dalam proses pembelajaran
di sekolah. Cita-cita dan harapan setiap pelajar perlu dipenuhi oleh pihak sekolah sama ada bagi tujuan akademik mahupun kerjaya
pada masa hadapan.
Personel Dalam Pengurusan HEM
Personel adalah komponen yang paling penting dalam sesuatu organisasi. Kualiti
pengurusan sesebuah organisasi dan keluarannya bergantung terus kepada kualiti personelnya. Oleh yang demikian, semua personel
dalam pengurusan HEM sama ada profesional atau bukan profesional hendaklah sentiasa segar dari segi pengetahuan dan latihan
mereka. Terdapat beberapa ciri kualiti yang perlu ada pada personel HEM daripada Pengetua, Pen. Kanan HEM, kaunselor dan staf
–staf yang lain iaitu:
Komited terhadap pengurusan HEM.
Berkemahiran mengenalpasti dan memahami permasalahan pelajar dan menyelesaikannya.
Berpengalaman memahami perkembangan personaliti pelajar.
Berinisiatif untuk menjayakan pengurusan HEM.
Berupaya mewujudkan suasana yang selamat dan kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran
(P & P)
Oleh itu seseorang pengurus HEM perlu memiliki kemahiran konseptual, kemahiran manusia
dan kemahiran teknikal untuk mempersiapkan diri mengelolakan hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan HEM di sekolah.
Unit Hal Ehwal Murid di Sekolah
Unit Hal Ehwal Murid (HEM) atau di sesetengah sekolah dinamakan seperti Majlis HEM, Unit
Personalia Pelajar dan lain-lain yang membawa konotasi yang sama adalah satu unit yang diwujudkan di bawah pengelolaan Penolong
Kanan (HEM) di sekolah-sekolah untuk menguruskan perkhidmatan hal ehwal murid.
Peranan utama unit ini mengendalikan pelbagai program dan perkhidmatan serta pengurusan
yang tersirat dalam kurikulum sekolah sama ada berupa akademik atau ko-kurikulum iaitu:
Merancang program aktiviti dan teknik pelaksanaan semua aktiviti untuk per kembangan
sahsiah pelajar.
Menyelaras, menyelia dan menilai pelaksanaan aktiviti pelajar.
Mempertingkatkan akhlak dan nilai hidup pelajar, membina personaliti dan membentuk sikap
pelajar yang positif dan progresif.
Mengawasi keselamatan, menjaga kesihatan dan memelihara kebajikan pelajar.
Membina semangat kasih sayang kepada diri sendiri, ibu bapa, agama dan negara.
Untuk menjayakan pengelolaan program dan perkhidmatan HEM berkenaan, unit ini biasanya
mempunyai struktur organisasi yang tertentu yang diubahsuai dan ditambah mengikut keperluan di sekolah-sekolah berkenaan.
Rajah 1 dan 2 di bawah dapat menunjukkan contoh struktur asas unit HEM yang mempunyai beberapa bahagian di bawah kawalannya
dan setiap bahagian atau bidang ini mempunyai objektif, dasar, pelaksanaan dan kumpulan sasaran masing-masing.
Rajah 1 : Struktur Organisasi Sekolah Menengah Gred A
Rajah 2 : Struktur & Bidang-Bidang Dalam Pengurusan HEM
MAJLIS HAL EHWAL PELAJAR
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN ADELA (SEMEKA)
KOTA TINGGI, JOHOR
Pengerusi : Tn. Hj. Sufaat bin Tumin (Pengetua)Timb. Pengerusi : En. Azman bin Adnan (Pen.
Kanan HEM)Naib Pengerusi 1 : En. Mohamad bin Mahadi (Pen. Kanan 1)Naib Pengerusi 2 : En. Sairi bin Jasman (Penyelia Petang)Setiausaha
: En. Mohd. Fodzi Osman Kaunselor Pelajar : En. Md. Noor MarzukiGuru Kanan Disiplin (Pagi) : En. Tukiman SarminGuru Kanan
Disiplin (Petang): En. Sinin MokrehPenyelaras Pengawas (Pagi) : En. Rosli A. HamidPenyelaras Pengawas (Petang): En. Norazmi
Md. BandiPenyelaras Dokumen Pelajar : Pn. Sharidatul MohamadPenyelaras Biasiswa
dan Simpanan : Pn. Hamisah EahsanPenyelaras SPBT : En. Salem AmirPenyelaras Perangkaan
Harian/Enrolmen Murid : Pn. Rusnani FadzilPenyelaras Kesihatan Murid : Pn. Raimah OmarPenyelaras
Keselamatan &
Pencegahan Kebakaran : En. Hilmi Azani HussinPenyelaras papan Kenyataan
& Maklumat Sekolah : Cik Wizanatunisa SairiPenyelaras Kantin Sekolah : Pn. Faizah wahaidPenyelaras
Asrama Bistari : En. Misran SiatasPenyelaras Buletin/Majalah : En. Mohd. Ibrahim MohamadPenyelaras Tingkatan : En. Johar AhmadPenyelaras
Register Murid : Cik Rohayah DarmawanPenyelaras Kepimpinan &
Pengembangan Motivasi : En. A. Wahab AwangPenyelaras Badan Kebajikan
Murid (BAKESMA) : Cik Mahanom SulaimanPenyelaras Koperasi : YM Raja Zainarabidin Raja Zailon
Rajah 3 : Contoh Struktur Organisasi Unit HEM di Sekolah
Program Hal Ehwal Murid Di Sekolah
Pelaksanaan program atau aktiviti HEM di sekolah adalah berasaskan bidang-bidang yang
terangkum dalam unit HEM itu sendiri meliputi kebajikan pelajar dan ko-kurikulum.
1. Matlamat Program HEM
Antara matlamat program hal ehwal murid ialah:
Membantu dalam perkembangan diri murid/pelajar supaya
berfungsi sebagai individu yang seimbang.
Memupuk semangat berdikari.
Memupuk semangat kerjasama dan kekitaan.
Membantu merancang hidup yang lebih bermakna dan berkesan.
Memberi dorongan dan motivasi dan semua aspek.
Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang-bidang ilmu yang berbagai-bagai.
Memperkembangkan potensi dan kebolehan ke tahap maksima.
Membantu murid/pelajar meringankan masalah yang dihadapi.
Menyedarkan murid/pelajar tentang pentingnya hidup bermasyarakat.
Menyuburi potensi kepemimpinan di kalangan murid/pelajar
2. Elemen-elemen penting dalam program HEM:
i. Menyelesaikan masalah
ii. Membuat keputusan
iii. Hubungan manusia
iv. Komunikasi yang efektif
Model-model Program HEM
Antara model-model yang biasanya digunakan untuk melaksanakan program-program HEM adalah
seperti berikut:
Program menyeluruh - melibatkan murid/pelajar atau ahli. Contoh: program orientasi pelajar.Program
perkembangan, pemulihan dan pembaikan - secara individu atau kumpulan. Contoh: program peningkatan disiplin PINTAS.Program
pengajaran (instructional). Contoh: program 5 minit anti-dadah dalam P&P.Program terbuka - melibatkan agensi-agensi luar.
Contoh: pameran pendidikan, latihan kebakaran.Program Bersepadu - integrasi program-program atau aktiviti. Contoh: program
motivasi, perkhemahan dan lain-lain.
Jenis-jenis Program HEM Terdapat banyak
program HEM yang dilaksanakan di sekolah. Antaranya adalah seperti berikut:
(a) Orientasi/suaikenal
(b) Penyebaran maklumat
© Kajian/penyelidikan misalnya menyelesai masalah disiplin pelajar atau prestasi pelajar
(d) Bimbingan pelajaran dan kemahiran
(e) Bimbingan kerjaya/vokasional
(f) Khidmat konsultasi - kepada pelajar, guru dan ibu bapa
(g) Bimbingan kerohanian dan psikososial (perkembangan diri)
(h) latihan kepemimpinan - kepada pengurus dan pemimpin kelab/persatuan
(i) Latihan kejurulatihan di kalangan pelajar
(j) Program kesedaran keselamatan
Program keceriaan sekolah
Pendidikan Pencegahan Dadah/Merokok/Aids
Kursus-Kursus Motivasi/Bina Insan/Kepimpinan
Pameran/kempen-kempen
(o) Kaunseling
(p) Program komuniti
(q) Program pemulihan.
5. Perancangan Program HEM
Perkara-perkara berikut biasanya adalah antara perkara yang diberi
pertimbangan untuk melaksanakan program-program HEM sesuai dengan tuntutan untuk ke arah keberkesanan
dan kualiti perkhidmatan HEM di sekolah.
(a) Penubuhan jawatankuasa - guru, murid atau ibu bapa
(b) Kajian keperluan (luaran dan dalaman)
© Jenis program dan rasional
(d) Matlamat & objektif program
Kemudahan resos - manusia dan fizikal
(f) Kekangan-kekangan yang ada
(g) Alternatif pemilihan
(h) Proses dan strategi pelaksanaan
(i) Polisi, peraturan, dan prosedur
(j) Masa (menentukan takwim sekolah untuk mengetahui tempoh yang bersesuaian dengan program
HEM).
(k) Kaedah penyeliaan & pengawalan
(l) Jenis dan kaedah penilaian - terhadap kualiti program dan prestasi murid/pelajar
(m) Tindakan susulan - program pemulihan dan pengayaan untuk penambaikan.
Ciri-ciri Pengurus HEM Yang Berkesan
Pengurus HEM yang merupakan personel penting dalam menentukan keberkesanan dan kualiti
pengurusan dan program-program HEM. Oleh itu mereka perlu memiliki beberapa ciri seperti berikut:
(a) Mempunyai pengetahuan dalam asas-asas pengurusan
(b) Mudahlentur (fleksibel)
© Sentiasa bersedia menjalankan tugas
(d) Mempunyai pengetahuan dalam bidang analisis masalah
(e) Mempunyai siat-sifat kepemimpinan
(f) Mampu memberi dorongan yang membina
(g) Mempunyai kemahiran dalam bidang perhubungan manusia
(h) Boleh berkomunikasi dengan efektif
(i) Mempunyai kemahiran kejurulatihan dan kepegawaian
(j) Mempunyai pengetahuan dalam domain kognitif, psikomotor, efektif, dan kerohanian.
(k) Kreatif dan kritikal
(l) Mempunyai pegangan yang tugas itu adalah satu amalan
(m) Mempunyai sifat terbuka
(n) Sihat dan bertenaga
Senarai Tugas Guru Penolong Kanan II
Sekolah Rendah
Mukadimah
Guru Penolong Kanan II bertanggungjawab kepada Guru Besar untuk mencapai Dasar Pendidikan
Kebangsaan. Guru Penolong Kanan II bertanggungjawab mempertingkatkan disiplin kebajikan murid, dan penerapan nilai-nilai murni.
1. Bidang Tugas
1.1 Menjalankan tugas-tugas Guru Besar semasa ketiadaan Guru Besar dan Guru Penolong
Kanan I
1.2 Mengajar sebilangan waktu mengikut arahan Guru Besar
1.3 Bertanggungjawab kepada Guru Besar dalam pengurusan dan pentadbiran Hal-Ehwal Murid.
1.4 Membantu Guru Besar dalam pentadbiran sesi petang bagi sekolah-sekolah yang mempunyai
sesi petang.
1.5 Membantu Guru Besar menyelia dan menilai aktiviti hal-ehwal murid.
1.6 Membantu Guru Besar dalam semua aspek perancangan dan pengurusan sekolah.
2. Senarai Tugas
2.1 Disiplin
a. Menentukan penerapan amalan-amalan dan nilai-nilai yang murni.
b. Memastikan undang-undang dan peraturan-peraturan sekolah dikuatkuasakan.
c. Mengambil tindakan yang sesuai terhadap kes-kes murid yang melanggar peraturan-peraturan
tatatertib dan salahlaku.
d. Menyelaras dan menyediakan rekod disiplin dan laporan murid.
e. Guru Penasihat Lembaga Pengawas Sekolah.
2.2 Bimbingan dan Kaunseling
a. Merancang dan menyelaras pelaksanaan program bimbingan dan kaunseling.
b. Menyelaras dan menyediakan rekod bimbingan dan keunseling murid dan menyediakan laporan
yang diperlukan.
c. Merancang dan melaksanakan program kebajikan dan orientasi bagi murid-murid baru.
2.3 Kesihatan dan Kebajikan Murid
a. Menguruskan kemudahan rawatan murid.
b. Memastikan program-program kesihatan murid dijalankan dengan sempurna seperti menguruskan
Kad 001/002, PKS 1/PKS 2 dan Kad Tenaga Asas.
c. Menyelaras penyeliaan yang berkaitan dengan kantin sekolah.
d. Menyelaras segala aktiviti kesihatan dan kebersihan murid.
e. Melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan dengan Rancangan Amalan Makanan dan Pemakanan,
Projek Susu dan lain-lain rancangan bantuan dan kebajikan murid.
f. Memastikan langkah-langkah keselamatan semasa berada di sekolah sentiasa dilaksanakan.
2.4 Skim Pinjaman Buku Teks
a. Menyelaras hal-hal pengeluaran, pengambilan, pengagihan dan hapuskira.
b. Menguruskan kutipan-kutipan data, mengawal buku-buku stok dan mengawal bilik Buku
Bantuan.
c. Menyediakan anggaran belanjawan mengurus skim pinjaman buku teks.
3. Pentadbiran
3.1 Mengurus dan mengemaskini Rekod Pendaftaran Murid
3.2 Menyemak Buku Kedatangan Harian Murid sidang pagi
3.3 Mengurus kemasukan dan penempatan murid.
3.4 Mengurus pertukaran murid.
3.5 Mengurus surat akaun, sijil-sijil murid, surat-surat pengesahan dan pengedaran sijil-sijil
berhenti sekolah.
3.6 Menyemak buku/kad kemajuan murid dan jadual markah.
3.7 Membantu menyediakan anggaran belanjawan sekolah.
4. Pengawasan Asrama (Jika ada)
4.1 Menentukan sistem kemasukan dan penempatan pelajar ke asrama.
4.2 Membantu di dalam pemilihan dan penyeliaan warden-warden asrama.
4.3 Menyelaras hal-hal pembelajaran dan menentukan langkah-langkah keselamatan asrama.
4.4 menyelaras penyeliaan kebersihan dan mewujudkan keceriaan asrama.
4.5 Menyelaras penyeliaan hal makanan dan dapur.
4.6 Menyelaras pengawasan hal-hal kesihatan penghuni asrama.
4.7 Membantu dalam urusan sebutharga/tender makanan asrama sekolah.
4.8 Memastikan bahawa kemudahan dan penyertaan penghuni asrama dalam aktiviti riadah
dan kokurikulum diadakan.
4.9 Menyelaras segala jenis pungutan wang dan pembayaran yang berkaitan dengan asrama.
4.10 Penasihat Lembaga Pengawas Asrama.
5. Tugas-tugas Lain
5.1 Menganggotai jawatankuasa-jawatankuasa yang diluluskan oleh Guru Besar dari masa
ke semasa.
5.2 Melaksanakan arahan-arahan dan tugasan-tugasan lain yang diberikan oleh Guru Besar
dari masa ke semasa.
Senarai Tugas Penolong Kanan
(Hal Ehwal Murid) Sekolah Menengah
Mukadimah
Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid bertanggungjawab kepada Pengetua untuk mencapai Dasar
Pendidikan Kebangsaan. Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid bertanggungjawab mempertingkatkan kebajikan murid, aktiviti kokurikulum
dan penerapan nilai-nilai murni.
1. Bidang Tugas
1.1 Menjalankan tugas-tugas Pengetua semasa ketiadaan Pengetua dan Penolong Kanan.
1.2 Mengajar sebilangan waktu mengikut arahan Pengetua.
1.3 Bertanggungjawab kepada Pengetua dalam hal-hal Pendidikan Jasmani, Kokurikulum, Disiplin
dan Kaunseling, Keselamatan dan Kebajikan Murid, Buku Teks, Biasiswa dan Bantuan Kewangan, Penerbitan dan Percetakan, Perayaan
Sekolah, Koperasi Sekolah, Kantin Sekolah dan Pengawasan Asrama (jika ada).
1.4 Membantu Pengetua dalam pentadbiran sesi petang bagi sekolah-sekolah yang mempunyai
sesi petang.
1.5 Membantu Pengetua menyelia dan menilai seperti dalam 1.3 di atas.
1.6 Membantu Pengetua dalam semua aspek perancangan dan pengurusan sekolah.
2. Senarai Tugas
2.1 Disiplin
a. Menentukan penerapan amalan-amalan dan nilai-nilai yang murni.
b. Memastikan undang-undang dan peraturan-peraturan sekolah dikuatkuasakan.
c. Guru Penasihat Lembaga Pengawas Sekolah.
d. Mengambil tindakan yang sesuai terhadap kes-kes murid yang melanggar peraturan-peraturan
tatatertib dan salahlaku.
e. Menyelaras dan menyediakan rekod disiplin dan laporan murid.
2.2 Bimbingan dan Kaunseling
a. Merancang dan menyelaras pelaksanaan program bimbingan dan kaunseling bersama-sama
dengan guru-guru bimbingan dan kaunseling.
b. Menyelaras dan menyediakan rekod bimbingan dan kaunseling murid dan menyediakan laporan
yang diperlukan.
c. Merancang dan melaksanakan program kebajikan dan orientasi bagi murid-murid baru.
2.3 Program Perlindungan Murid
a. Merancang dan menyelaras program mencegah penyalahgunaan najis dadah dan program-program
lain di peringkat sekolah.
2.4 Pentadbiran
a. Mengurus dan mengemaskini Buku Rekod Pendaftaran Murid.
b. Menguruskan kemasukan dan penempatan murid.
c. Mengurus pertukaran murid
d. Menyemak Buku Kedatangan Harian murid sidang pagi.
e. Mengurus surat akaun, sijil-sijil pelajar, pengesahan dan pengedaran sijil berhenti
sekolah.
f. Menyemak buku/kad kemajuan murid dan jadual markah.
g. Membantu menyediakan anggaran belanjawan sekolah.
h. Membantu merancang Takwim sekolah.
2.5 Kesihatan
a. Menguruskan kemudahan rawatan murid.
b. Memastikan program-program kesihatan murid dijalankan dengan sempurna seperti menguruskan
Kad 001/002, PKS 1/PKS 2 dan kad Tenaga Asas.
c. Menyelaras penyeliaan yang berkaitan dengan kantin sekolah.
d. Menyelaras segala aktiviti kesihatan dan kebersihan murid.
2.6 Skim Pinjaman Buku Teks
a. Menyelaras hal-hal pengeluaran, pengambilan, pengagihan dan hapuskira.
b. Menguruskan kutipan-kutipan data, mengawal buku-buku stok dan mengawal Bilik Buku
Bantuan.
c. Menyediakan anggaran belanjawan mengurus skim pinjaman buku teks.
2.7 Biasiswa dan Bantuan
a. Menyelenggara perakuan-perakuan biasiswa dan bantuan.
b. Mengemaskini rekod-rekod biasiswa dan bantuan.
c. Menguruskan tuntutan dan bayaran biasiswa murid.
3. Kokurikulum
3.1 Sukan dan Permainan
a. Membantu merancang, melaksana dan menyelia kegiatan sukan dan permainan di semua peringkat.
b. Membantu merancang Takwim Sukan dan Permainan sekolah,.
3.2 Kelab/Persatuan
a. Menyelaras dan menyelia aktiviti-aktivti Persatuan dan Kelab yang bercorak akademik.
3.3 Pasukan Pakaian Seragam
a. Merancang strategi penglibatan murid dalam kegiatan pasukan pakaian seragam.
b. Menyelaras pelaksanaan kegiatan pasukan pakaian seragam sekolah,
3.4 Koperasi Sekolah dan Sebagainya
a. Menyelaras kegiatan-kegiatan berkaitan dengan koperasi sekolah, Amanah Saham Nasional,
Bank Simpanan Nasional dan sebagainya.
4. Pengawasan Asrama (jika ada)
4.1 Menentukan sistem kemasukan dan penempatan pelajar ke asrama
4.2 Membantu dalam pemilihan dan penyeliaan warden-warden asrama.
4.3 Menyelaras hal-hal pemelajaran dan menentukan langkah-langkah keselamatan asrama.
4.4 Menyelaras penyeliaan kebersihan dan mewujudkan keceriaan asrama.
4.5 Menyelaras penyeliaan hal makanan dan dapur.
4.6 Menyelaras pengawasan hal-hal kesihatan penghuni asrama.
4.7 Membantu dalam urusan sebutharga/tender makanan asrama sekolah.
4.8 Memastikan bahawa kemudahan dan penyertaan penghuni asrama dalam aktiviti riadah
dan kokurikulum diadakan.
4.9 Menyelaras segala jenis pungutan wang dan pembayaran yang berkaitan dengan asrama.
4.10 Penasihat Lembaga Pengawas Asrama.
5. Tugas-tugas Lain
5.1 Menganggotai jawatankuasa-jawatankuasa yang diluluskan oleh Guru Besar dari masa
ke semasa.
5.2 Melaksanakan arahan-arahan dan tugasan-tugasan lain yang
diberikan oleh Guru Besar dari masa ke semasa.